Pengendali skuad kebangsaan Laos, Ha Hyeok-jun, menegaskan pasukannya akan turun dengan semangat baharu bagi menebus kekalahan lalu menentang Harimau Malaya menjelang aksi keempat Kelayakan Piala Asia 2027 di Stadium Nasional Bukit Jalil pada 14 Oktober ini.
Jurulatih kelahiran Korea Selatan itu berkata, Laos telah melakukan analisis menyeluruh terhadap kekalahan 0-3 di tangan Malaysia pada aksi terdahulu di Vientiane, dan kini lebih bersedia untuk memberi tentangan sengit.
“Seperti yang kita tahu, Laos tewas 3-0 kepada Malaysia dalam aksi sebelumnya. Ada banyak perkara yang dipelajari dan dianalisis daripada perlawanan berkenaan, tetapi Malaysia pasukan yang lebih bagus.
Kita akan cuba berjuang sebaik mungkin. Untuk aksi ini, kita banyak belajar daripada kesilapan jadi kita lebih bersedia untuk aksi esok.
Harapnya kita mendapat keputusan yang lebih baik untuk Laos,” katanya dalam sidang media praperlawanan.
Dalam pertemuan pertama, Harimau Malaya menang bergaya 3-0 hasil jaringan Arif Aiman Hanapi, Dion Cools, dan Faisal Halim, sekali gus mengukuhkan kedudukan Malaysia di puncak Kumpulan F.
Hyeok-jun menambah bahawa fokus utama Laos kini ialah memperbaiki organisasi bertahan serta memastikan pemain tidak melakukan kesilapan mudah seperti dalam aksi terdahulu.
“Kami sudah menilai setiap aspek, terutama dalam bertahan. Pemain lebih faham peranan masing-masing kali ini,” ujarnya.
Dengan Laos kini di tangga ketiga kumpulan di belakang Vietnam dan Malaysia, kemenangan amat penting bagi mereka untuk merapatkan jurang mata dan mengekalkan peluang ke pusingan seterusnya.
Vietnam pula terus mengekori rapat Malaysia selepas menewaskan Nepal 3-1, menjadikan pertembungan antara Malaysia dan Laos kali ini penting bukan hanya bagi kedudukan kumpulan, tetapi juga maruah pasukan.
