Wakil Malaysia, Johor Darul Ta’zim F.C. (JDT) mengesahkan tempat ke pusingan kalah mati AFC Champions League Elite (ACLE) 2025-2026 selepas saingan liga Zon Timur dan Barat menutup tirainya minggu ini.
Kesemua 24 kelab terbaik Asia melengkapkan lapan perlawanan sejak September lalu, dengan 16 pasukan terbaik mara ke pusingan 16. Lapan slot diperuntukkan bagi setiap zon, menjadikan persaingan sengit dalam kalangan 12 kelab yang memburu tempat ke peringkat kalah mati.
Di Zon Barat, tiga kelab gergasi Arab Saudi iaitu Al-Hilal SFC, Al-Ittihad Club dan juara bertahan Al-Ahli Saudi FC menepati ramalan untuk berada dalam kelompok lapan terbaik.
Turut melengkapkan senarai Zon Barat ialah Al-Wahda FC, Shabab Al-Ahli Club, Al-Duhail SC, Al Sadd SC serta wakil Iran, Tractor S.C..
Sementara itu, Zon Timur menyaksikan Jepun mendominasi dengan tiga wakil iaitu Machida Zelvia, Vissel Kobe dan Sanfrecce Hiroshima.
Dua kelab kebanggaan ASEAN, JDT dan Buriram United F.C. turut melangkah ke pusingan 16 bersama wakil tunggal Australia, Melbourne City FC serta dua pasukan Korea Selatan, FC Seoul dan Gangwon FC yang mengesahkan kemaraan pada hari terakhir saingan.
Pusingan 16 terbaik ACLE dijadual bermula pada 2 dan 3 Mac depan bagi aksi pertama timbal balik, sebelum perlawanan kedua berlangsung seminggu kemudian.
Kejayaan JDT mara ke peringkat ini sekali lagi membuktikan konsistensi kelab selatan tanah air itu di pentas Asia, sekali gus mengangkat reputasi bola sepak Malaysia dalam saingan elit benua.
