Sabtu, Oktober 3, 2026

10 Hari Penentuan Nasib 7 Pemain Warisan Harimau Malaya di CAS

Penantian penuh debaran selama 10 hari kini bermula buat skuad kebangsaan apabila nasib tujuh pemain warisan negara bakal ditentukan dalam perbicaraan di Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS). Di sebalik prestasi cemerlang mendahului Kumpulan F dalam Pusingan Kelayakan Akhir Piala Asia 2027, kem Harimau Malaya masih dibayangi isu penggantungan yang dikenakan oleh FIFA sejak September 2025.

Pasukan bimbingan Peter Cklamovski sebelum ini kehilangan khidmat tujuh tonggak warisan iaitu Facundo Garcés, Rodrigo Holgado, Imanol Machuca, João Figueiredo, Gabriel Palmero, Jon Irazabal dan Héctor Hevel yang dikenakan hukuman penggantungan 12 bulan daripada semua aktiviti bola sepak. Keputusan itu memberi tamparan hebat kepada perancangan pasukan kebangsaan.

Namun perkembangan terbaharu memberi sedikit kelegaan apabila Persatuan Bola Sepak Malaysia mengesahkan bahawa CAS telah membenarkan permohonan Penangguhan Pelaksanaan yang difailkan oleh ketujuh-tujuh pemain tersebut. Keputusan itu bermakna hukuman penggantungan ditangguhkan sementara waktu dan mereka dibenarkan meneruskan kerjaya serta menyertai sebarang aktiviti bola sepak sehingga keputusan muktamad rayuan dibuat.

Menurut kenyataan rasmi FAM, keputusan ini memberi ruang penting kepada pemain untuk kekal cergas dan bersedia bersama pasukan, sekurang-kurangnya sehingga tarikh perbicaraan penuh berlangsung. Ia juga menjadi suntikan moral kepada skuad kebangsaan yang sedang berada pada momentum terbaik dalam kempen kelayakan.

Kes ini dijadualkan dibicarakan di ibu pejabat CAS di Lausanne pada 26 Februari 2026. Keputusan akhir yang bakal diumumkan nanti bukan sahaja menentukan masa depan tujuh pemain tersebut, malah mampu memberi kesan besar terhadap kekuatan dan hala tuju Harimau Malaya dalam misi memburu tiket ke pentas Asia 2027.

artikel berkaitan

ARTIKEL TERBARU