Seorang lelaki di Austria sedang dibicarakan selepas teman wanitanya ditemukan meninggal dunia akibat kesejukan berhampiran puncak Grossglockner, gunung tertinggi negara itu, semasa pendakian musim sejuk tahun lalu.
Menurut pendakwa raya, Thomas Plamberger, 37, didakwa meninggalkan Kerstin Gurtner, 33, kira-kira 50 meter dari puncak pada awal pagi 19 Januari 2025 ketika wanita itu berada dalam keadaan tidak berdaya, keletihan melampau, hipotermia dan keliru, sebelum dia turun bersendirian.
Perkhidmatan penyelamat dimaklumkan pada malam kejadian, namun pasukan hanya tiba selepas jam 10 pagi keesokan harinya dan menemukan Gurtner sudah meninggal dunia.
Plamberger kini berdepan pertuduhan membunuh tanpa niat akibat kecuaian melampau. Jika sabit kesalahan, dia boleh dihukum penjara sehingga tiga tahun. Difahamkan, tertuduh menafikan sebarang salah laku ketika prosiding bermula di Mahkamah Wilayah Innsbruck.
Pendakwa raya berhujah bahawa Plamberger sepatutnya dianggap sebagai ketua pendakian kerana beliau mempunyai pengalaman gunung tinggi yang jauh lebih luas serta bertanggungjawab merancang misi melalui rabung Studlgrat.
Antara kesilapan kritikal yang dibangkitkan termasuk meneruskan pendakian musim sejuk yang mencabar walaupun mangsa tidak pernah menamatkan pendakian pada tahap kesukaran dan altitud sedemikian.
Pendakwa turut menyatakan pasangan itu memulakan pendakian kira-kira dua jam lewat daripada jadual disyorkan serta tidak membawa peralatan bivouac kecemasan yang mencukupi.
Menurut pihak pendakwaan, pasangan berkenaan sepatutnya berpatah balik apabila keadaan cuaca semakin buruk dengan kelajuan angin mencecah 74 kilometer sejam dan suhu negatif lapan darjah Celsius, yang dirasakan menghampiri negatif 20 darjah Celsius akibat faktor penyejukan angin.
Mereka juga mendakwa Plamberger tidak memindahkan mangsa ke lokasi lebih terlindung serta tidak menggunakan beg bivouac atau selimut kecemasan aluminium bagi mengurangkan kehilangan haba badan.
Bagaimanapun, ibu mangsa tampil mempertahankan tertuduh dan menyifatkan tragedi itu sebagai satu rangkaian keadaan malang, sambil menegaskan beliau tidak mahu menyalahkan sesiapa atas kematian anak perempuannya.
Kes tersebut terus mendapat perhatian di Austria kerana ia menimbulkan persoalan besar mengenai tanggungjawab, keselamatan dan keputusan kritikal dalam pendakian gunung berisiko tinggi.
