Skuad Harimau Malaya kini berada di landasan terbaik untuk mengekalkan rekod bersih dalam Kumpulan F, Pusingan Kelayakan Akhir Piala Asia 2027, selepas mempamerkan aksi meyakinkan menewaskan Laos 3-0 di Stadium Nasional Bukit Jalil.
Kemenangan itu mengekalkan rentak sempurna Malaysia yang sebelum ini menumpaskan Nepal 2-0 dan Vietnam 3-0, menjadikan skuad kendalian Peter Cklamovski antara pasukan paling konsisten dalam saingan kali ini.
Lebih membanggakan, kejayaan menundukkan Laos turut menyumbang +6.78 mata ranking FIFA, sekali gus membantu Malaysia melonjak ke tangga ke-119 dunia, meningkat empat anak tangga berbanding kemas kini terdahulu di kedudukan ke-123.
Jika berjaya mengekalkan prestasi cemerlang pada perlawanan seterusnya, skuad negara berpotensi menambah +6.77 mata lagi dan naik ke ranking ke-118 dunia, berdasarkan kemas kini masa nyata FIFA.
Menariknya, prestasi ini dicapai walaupun tanpa tujuh pemain warisan, apabila barisan muda seperti Ubaidullah Shamsul, Harith Haikal dan Ramadhan Saifullah diberi peluang beraksi dan membuktikan kemampuan mereka.
Turut menjadi tunjang utama skuad kebangsaan ialah Afiq Fazail, Nazmi Faiz, Arif Aiman, Shahrul Saad dan Syihan Hazmi, yang terus menunjukkan disiplin serta keserasian tinggi di bawah taktikal moden Cklamovski.
Perlawanan seterusnya antara Malaysia dan Laos akan berlangsung pada Selasa, 14 Oktober 2025, jam 9.00 malam di Stadium Nasional Bukit Jalil, dan dijangka menjadi medan penting untuk mengekalkan momentum serta mengukuhkan kedudukan di peringkat Asia.
