Isnin, Oktober 5, 2026

Peganjur Mohon Maaf Insiden Kibar Bendera Israel Dalam Program Solidariti Gaza

Pertubuhan Anak Muda Bangkit Malaysia tampil menjelaskan kekeliruan serta memohon maaf susulan insiden pengibaran bendera Israel dalam Program 500 Pelayaran Solidariti Kelantan untuk Gaza di Lembah Sireh pada Jumaat lalu, yang mencetuskan pelbagai reaksi dalam kalangan masyarakat.

Pengarah program, Mohd Khairul Hafiz Hassan, menjelaskan bahawa bendera Israel itu dikibarkan hanya sebagai sebahagian daripada simulasi serangan terhadap sukarelawan Global Sumud Flotila, bagi memberi gambaran jelas kepada penonton tentang kekejaman rejim Zionis terhadap rakyat Palestin.

Menurutnya, tindakan itu tidak bertujuan mengagungkan Israel, sebaliknya sebagai elemen visual untuk membantu penonton memahami jalan cerita persembahan berkenaan.
Katanya, selepas simulasi tamat, bendera Israel dipijak oleh peserta sebagai simbol kemarahan terhadap kezaliman rejim tersebut.

“Saya mohon maaf sekiranya ada pihak yang tersinggung atau salah faham dengan persembahan itu. Sebagai penganjur, saya bertanggungjawab penuh dan akan memberi kerjasama kepada pihak polis,” katanya menerusi satu video di TikTok.

Mohd Khairul turut menegaskan bahawa pihaknya menyokong perjuangan Palestin sepenuhnya dan tidak pernah berniat untuk menyinggung mana-mana pihak.

artikel berkaitan

ARTIKEL TERBARU