Ahad, Oktober 4, 2026

Annuar Musa akui TMJ penggerak utama kebangkitan Harimau Malaya

Bekas Timbalan Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Tan Sri Annuar Musa, menzahirkan penghargaan terhadap DYAM Tunku Mahkota Ismail (TMJ), Pemangku Sultan Johor, atas sumbangan besar baginda terhadap kemajuan bola sepak negara, khususnya skuad Harimau Malaya.

Annuar yang kini memegang jawatan sebagai Presiden Kelantan The Real Warriors FC (KTRW FC) berkata, TMJ telah memainkan peranan penting dalam memperkukuh skuad kebangsaan bukan sahaja ketika memegang jawatan rasmi, malah terus memberikan sokongan selepasnya.

“Banyak peranan yang dibuat TMJ. Dalam hal ini, saya perhatikan bola sepak Malaysia sangat banyak dibantu oleh baginda.

Tak ramai individu, sama ada semasa memegang jawatan atau selepasnya, yang sanggup memberikan bantuan sama ada dari segi sokongan moral atau material bagi mengukuhkan skuad kebangsaan,” katanya kepada wartawan Astro Arena, Fina Nasrom.

Tambahnya, TMJ bukan sahaja berperanan sebagai pemimpin sukan, tetapi juga penyokong setia dan penggerak utama dalam memartabatkan bola sepak tanah air ke peringkat lebih tinggi.

Sebelum ini, pengendali Harimau Malaya, Peter Cklamovski, turut memuji jasa dan penglibatan aktif TMJ dalam membangunkan struktur bola sepak profesional di Malaysia. Komen itu dibuat selepas kemenangan Malaysia ke atas Laos 3-0 di Vientiane pada 9 Oktober lalu.

“Cklamovski hanya menyebut perkara yang benar. TMJ telah lama memainkan peranan penting di belakang tabir untuk melihat bola sepak Malaysia terus maju,” jelas Annuar.

Sumbangan TMJ sebelum ini termasuk penstrukturan semula pasukan kebangsaan, penambahbaikan fasiliti latihan, serta usaha membawa pemain dan tenaga jurulatih berkualiti tinggi ke dalam sistem bola sepak tempatan.

artikel berkaitan

ARTIKEL TERBARU