Kontroversi membabitkan hukuman FIFA terhadap Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dan tujuh pemain warisan negara terus mengundang tanda tanya, khususnya melibatkan nama besar seperti Facundo Garcés yang kini beraksi di La Liga.
Pemerhati bola sepak berpendapat adalah tidak logik bagi seorang pemain pada tahap setinggi itu sanggup mengambil risiko menggunakan dokumen palsu semata-mata untuk mewakili Malaysia. Risiko yang dihadapi terlalu besar dan boleh menghancurkan karier profesionalnya.
“Facundo Garcés bermain di liga sebesar La Liga. Beliau sudah tentu sedar bahawa jika didapati bersalah memalsukan dokumen, padahnya bukan sahaja pada kelab malah kariernya boleh musnah. Tidak masuk akal beliau sanggup lakukan perkara itu,” kata seorang penganalisis bola sepak tempatan.
Timbul juga spekulasi bahawa kemungkinan terdapat kesilapan teknikal dalam dokumentasi, atau wujud unsur sabotaj daripada pihak tertentu yang kurang senang dengan kebangkitan Harimau Malaya di pentas antarabangsa.
Walau apa pun puncanya, perhatian kini tertumpu kepada FAM yang perlu bertindak segera. FIFA telah menetapkan tempoh 10 hari untuk mengemukakan rayuan, dan langkah ini penting bagi membersihkan nama Malaysia serta para pemain terlibat.
Peminat bola sepak tanah air pula berharap isu ini dapat diselesaikan dengan adil agar perjuangan skuad Harimau Malaya dalam kelayakan Piala Asia 2027 tidak terus tercalar.
