Pencetus revolusi Harimau Malaya, DYAM Tunku Ismail, Pemangku Sultan Johor tampil menjelaskan pendirian berhubung kemelut terkini yang melanda skuad kebangsaan selepas FIFA mengenakan hukuman terhadap Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dan beberapa pemain warisan.
Menerusi satu hantaran di laman X, Baginda menegaskan bahawa pihak FAM sebenarnya sudah mengikuti segala proses yang ditetapkan, termasuk kerjasama bersama kerajaan Malaysia dan FIFA sendiri.
“FAM dah ikut proses dan kerjasama dengan FIFA & Kerajaan Malaysia,” titah Baginda.
Namun, Baginda menzahirkan rasa hairan apabila FIFA yang sebelum ini meluluskan serta mengesahkan status pemain warisan Malaysia, kini tiba-tiba mengubah keputusan.
“FIFA pun dah sahkan sebelum ini tetapi kenapa keputusan bertukar sekarang? Apa yang berlaku sampai tiba-tiba ada keputusan macam ini? Adakah ada entiti luar yang terlibat mempengaruhi keputusan FIFA?” soal Tunku Ismail.
Baginda turut mempersoalkan mengapa hukuman berat itu dijatuhkan tanpa disertakan sebab-sebab jelas, malah pelik apabila keputusan diumumkan secara terbuka walaupun proses rayuan masih berjalan.
“Lagi satu persoalan, hukuman dijatuhkan tanpa memberi sebab-sebab keputusan. Tambahan lagi FIFA cepat untuk mengeluarkan keputusan tersebut dalam public domain walaupun proses rayuan belum selesai.”
Tunku Ismail turut menasihatkan agar FAM segera memfailkan rayuan rasmi kepada FIFA dengan melampirkan surat pengesahan daripada Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) sebagai bukti.
“Siapa berada di New York? Saya berharap FAM akan membuat rayuan secepat mungkin. Ini adalah surat pengesahan dari Jabatan Pendaftaran Negara. Tak kan kita takut dan nak tunduk dengan individu-individu yang khuatir dengan kebangkitan Harimau Malaya.”
Baginda menutup kenyataan dengan seruan penuh semangat: “Lawan tetap lawan. Berani kerana benar.”
