Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) berharap kemelut melibatkan skuad kebangsaan Malaysia dapat diselesaikan segera menjelang dua aksi kelayakan Piala Asia 2027 yang akan berlangsung Oktober ini.
Setiausaha Agung AFC, Datuk Seri Windsor John berkata pihaknya akan menunggu terlebih dahulu keputusan Tribunal Bola Sepak FIFA berhubung hukuman yang dikenakan terhadap Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dan tujuh pemain warisan negara sebelum membuat sebarang keputusan lanjut.
FAM dan tujuh pemain tersebut sebelum ini dikenakan hukuman berat oleh FIFA atas dakwaan mengemukakan dokumen palsu berkaitan status naturalisasi. Antara pemain terlibat termasuk Hector Hevel, Facundo Garcés, Rodrigo Holgado, Joao Figueiredo, Gabriel Palmero, Imanol Machuca dan Jon Irazabal.
Menurut Windsor, AFC memahami situasi yang dihadapi Malaysia dan menegaskan keputusan perlu dibuat segera memandangkan Harimau Malaya dijadualkan menentang Laos pada aksi kelayakan bulan depan.
“(AFC) akan buat keputusan secepat mungkin sebab kita ada perlawanan pada bulan Oktober. Perlawanan Piala Asia kan (aksi menentang Laos). Jadi, kita rasa mereka (Tribunal Bola Sepak FIFA) akan buat keputusan ini sebelum perlawanan. Kita harap lagi cepat keputusan, lebih baik untuk semua agar kita dapat bersedialah,” katanya kepada wartawan Astro Arena, Faizal Bazari.
Buat masa ini, FAM bersama tujuh pemain terlibat masih mempunyai tempoh 10 hari untuk mengemukakan rayuan rasmi kepada tribunal bagi mencabar keputusan FIFA tersebut.
