Sabtu, Oktober 3, 2026

Khairy Jamaluddin Persoal FIFA: “Siapa Kemuka Aduan?”

Bekas Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin meluahkan rasa hairan terhadap tindakan FIFA yang menjatuhkan hukuman ke atas Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) serta tujuh pemain warisan negara atas dakwaan penggunaan dokumen palsu.

Khairy, yang juga bekas Timbalan Presiden FAM, mempersoalkan mengapa badan induk bola sepak dunia itu membuat keputusan sedemikian sedangkan FAM telah melengkapkan segala proses yang ditetapkan.

“Pelik. FIFA sudah memberi kelulusan seperti yang ditunjukkan dalam proses. Ini bermakna FIFA sudah mengkaji semua dokumen dan telah membuat penilaian wajar sebelum membenarkan tujuh pemain ini bermain untuk Malaysia. Mengapa FIFA mengubah fikiran mereka sekarang? Siapa yang kemukakan aduan (kepada FIFA)?” katanya menerusi satu hantaran di Instagram Story yang turut dikongsikan oleh wartawan Astro Arena, Zulhelmi Zainal Azam.

Beliau turut menegaskan bahawa proses mendapatkan khidmat pemain warisan ini dibuat secara telus dengan merujuk kepada semua garis panduan FIFA. Oleh itu, keputusan terkini menimbulkan tanda tanya besar terhadap motif sebenar di sebalik aduan tersebut.

Kenyataan Khairy itu turut mendapat perhatian DYAM Tunku Ismail, Pemangku Sultan Johor, yang berkongsi semula hantaran berkenaan di Instagram Baginda. Tunku Ismail sebelum ini turut menyuarakan persoalan sama mengenai perubahan keputusan FIFA, malah menggesa FAM segera memfailkan rayuan bersama bukti pengesahan rasmi Jabatan Pendaftaran Negara.

Isu ini terus menjadi perhatian peminat bola sepak tempatan, dengan ramai yang menunggu penjelasan lanjut daripada FIFA berhubung hukuman mengejutkan ini.

artikel berkaitan

ARTIKEL TERBARU