Kelab gergasi Colombia, América de Cali akhirnya bersuara mengenai status penyerang mereka, Rodrigo Holgado, selepas FIFA mengumumkan penggantungan terhadap Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) serta tujuh pemain, termasuk nama penyerang berusia 29 tahun itu.
Holgado, yang beraksi bersama skuad Harimau Malaya dalam perlawanan menentang Vietnam pada 10 Jun lalu dalam kempen kelayakan Piala Asia 2027, kini digantung selama 12 bulan daripada sebarang aktiviti berkaitan bola sepak. Penggantungan itu berkuat kuasa serta-merta selepas notis rasmi daripada FIFA.
América de Cali dalam kenyataan rasmi mengesahkan mereka akan mematuhi segala prosedur undang-undang bagi memastikan kes ini ditangani dengan adil.
“América de Cali memaklumkan peminat, media dan orang awam bahawa kami menerima pemberitahuan berhubung sekatan FIFA terhadap pemain kami, Rodrigo Holgado. Beliau digantung selama 12 bulan daripada semua aktiviti bola sepak mulai tarikh pemberitahuan tersebut,” jelas kenyataan itu.
Kelab tersebut turut menegaskan mereka akan bekerjasama rapat dengan FAM dalam memfailkan rayuan seperti yang diperuntukkan di bawah Kod Tatatertib FIFA.
“Kedua-dua FAM dan pemain akan memfailkan rayuan supaya keputusan dapat disemak oleh pihak berkuasa yang berwibawa. Jabatan Undang-undang América de Cali akan terus berhubung dengan FAM bagi memantau perkembangan proses ini,” tambah kenyataan rasmi berkenaan.
Langkah América de Cali ini jelas menunjukkan komitmen mereka dalam membela pemain serta memastikan keadilan ditegakkan dalam kes yang kini menjadi perhatian besar peminat bola sepak Malaysia dan antarabangsa.
