Ahad, Oktober 4, 2026

Terima Tekanan Untuk Sekat Negara Haram, Malaysia jadi Kambing Hitam FIFA?

Bola sepak Malaysia dikejutkan dengan pengumuman drastik daripada Jawatankuasa Disiplin FIFA yang mengenakan hukuman berat terhadap Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) serta tujuh pemain warisan Harimau Malaya. Tuduhan pemalsuan dokumen kelayakan pemain menjadi asas tindakan tersebut, sekali gus mencetuskan perdebatan hangat dalam kalangan peminat bola sepak tanah air.

Dalam kenyataan rasmi, FIFA memaklumkan FAM dikenakan denda CHF350,000 (sekitar RM1.8 juta), manakala tujuh pemain iaitu Gabriel Felipe Arrocha, Facundo Tomás Garcés, Rodrigo Julián Holgado, Imanol Javier Machuca, João Vitor Figueiredo, Jon Irazábal Iraurgui dan Hector Hevel Serrano turut dikenakan denda CHF2,000 setiap seorang serta digantung 12 bulan daripada sebarang aktiviti bola sepak.

Hukuman itu diumumkan hanya beberapa bulan selepas Harimau Malaya melakar kemenangan bermakna menentang Vietnam dalam aksi kelayakan Piala Asia 2027 – perlawanan yang kini menjadi titik mula kepada krisis ini.

Dalam reaksi segera, FAM mengesahkan akan menggunakan hak rayuan dalam tempoh ditetapkan FIFA. Badan induk itu menegaskan mereka telah mengikut prosedur sah dengan penuh ketelusan, malah kelayakan pemain-pemain berkenaan pernah mendapat pengesahan rasmi daripada FIFA sebelum ini. FAM turut menegaskan komitmen mereka untuk memberi kerjasama penuh sepanjang proses siasatan, sambil percaya isu ini mampu diselesaikan secara adil.

Namun, di sebalik hukuman ini, muncul persoalan besar. Mengapa FIFA begitu pantas menjatuhkan hukuman ke atas Malaysia sedangkan banyak kes lain termasuk melibatkan kuasa besar bola sepak dunia tidak ditangani dengan segera?

Ketika dunia bola sepak semakin lantang menekan FIFA dan UEFA supaya bertindak terhadap penglibatan Israel dalam kancah antarabangsa, tiba-tiba perhatian dialihkan kepada Malaysia. Hukuman keras terhadap FAM memberi gambaran bahawa FIFA lebih pantas menghukum negara kecil berbanding menyelesaikan isu lebih besar yang sedang dipertikai masyarakat antarabangsa.

Ada pandangan mengatakan Malaysia dijadikan “kambing hitam” untuk mengalihkan perhatian dunia daripada isu politik sukan global. Sama ada kebetulan atau sebaliknya, persoalan ini terus menimbulkan tanda tanya.

Walau apa pun, perjuangan Harimau Malaya tidak akan berhenti di sini. Malaysia berhak mendapatkan pembelaan, dan rayuan FAM menjadi penentu sama ada keadilan dapat ditegakkan atau sekali lagi politik antarabangsa mengatasi semangat kesukanan.

artikel berkaitan

ARTIKEL TERBARU