Ahad, Oktober 4, 2026

Saya Takkan Bersara Selagi Malaysia Tak Ke Piala Dunia – Zainal Abidin

Legenda bola sepak negara, Datuk Zainal Abidin Hassan menyuarakan impian besar untuk melihat Malaysia layak ke pentas Piala Dunia suatu hari nanti — satu cita-cita yang dianggap mampu direalisasikan jika skuad kebangsaan kekal konsisten dengan prestasi semasa.

Zainal, yang kini menjawat jawatan sebagai Pengarah Teknikal Imigresen FC, percaya bahawa dengan bimbingan jurulatih baharu, Peter Cklamovski dari Australia, Harimau Malaya kini berada di landasan yang tepat untuk mencipta sejarah.

“Saya takkan bersara selagi Malaysia tak masuk Piala Dunia,” tegas Zainal kepada wartawan Astro Arena, Zulhelmi Zainal Azam.

Kenyataan tersebut hadir selepas Malaysia mencatat dua kemenangan bergaya dalam saingan Kumpulan F, Pusingan Kelayakan Akhir Piala Asia 2027, termasuk kemenangan besar 4-0 ke atas Vietnam. Skuad kebangsaan kini mendahului kumpulan dengan enam mata penuh dan belum dibolosi dalam mana-mana aksi.

Sebagai langkah persiapan menghadapi kalendar antarabangsa seterusnya, Malaysia dilaporkan bakal menyertai kejohanan jemputan CAFA Nations Cup 2025 bersama Oman, membuka peluang bertemu pasukan gergasi seperti Iran dan Uzbekistan.

Dengan semangat juang tinggi serta barisan pemain muda yang semakin menyerlah, impian ke Piala Dunia bukan lagi sekadar angan-angan buat Harimau Malaya.

artikel berkaitan

ARTIKEL TERBARU