Skuad Harimau Malaya sah akan beraksi di kejohanan CAFA Nations Cup 2025, sekali gus membuka lembaran baharu dalam persiapan menghadapi saingan antarabangsa yang lebih mencabar.
Menerusi pengumuman rasmi di media sosial, pasukan kebangsaan Malaysia mengesahkan penyertaan dalam kejohanan yang menghimpunkan lapan pasukan Asia Tengah termasuk Iran (ranking ke-18 dunia) dan Uzbekistan (57).
“Penyertaan ini bukan sahaja satu penghormatan, malah membuka peluang untuk merealisasikan impian yang lebih besar di pentas antarabangsa,” ujar hantaran Malaysia National Team.
Kejohanan yang dijadual berlangsung dari 26 Ogos hingga 9 September 2025 akan berlangsung di dua negara tuan rumah — Kyrgyzstan dan Uzbekistan.
Senarai pasukan CAFA Nations Cup 2025:
- Iran
- Uzbekistan
- Tajikistan
- Kyrgyzstan
- Turkmenistan
- Afghanistan
- Oman (pasukan jemputan)
- Malaysia (pasukan jemputan)
Jurulatih Harimau Malaya, Peter Cklamovski, menganggap penyertaan ini sebagai peluang emas untuk menguji tahap sebenar anak buahnya dalam suasana kompetitif dan persekitaran mencabar.
“Kami akan berdepan cabaran hebat di tempat lawan… dan ia amat penting untuk pembangunan berterusan skuad kebangsaan,” kata Cklamovski.
Malaysia kini berada dalam prestasi terbaik dengan kemenangan ke atas Vietnam dan Nepal serta keputusan seri menentang Cape Verde — memberi keyakinan bahawa Harimau Malaya bersedia menggalas cabaran lebih besar di pentas Asia.
