Ahad, Oktober 4, 2026

Vietnam Dikritik Media Sendiri Selepas Dibelasah Malaysia 4-0

Salah sebuah media utama Vietnam, Tuoi Tre News, mempersoalkan persiapan skuad negara itu selepas kekalahan memalukan 4-0 kepada Malaysia dalam aksi Kumpulan F, Pusingan Kelayakan Akhir Piala Asia 2027.

Perlawanan yang berlangsung di Stadium Nasional Bukit Jalil disaksikan lebih 62,000 penyokong, menyaksikan skuad Harimau Malaya kendalian Peter Cklamovski mendominasi sepenuhnya perlawanan, manakala pasukan Vietnam yang diketuai Kim Sang-sik dilihat hilang arah dan gagal memberi tentangan sengit.

Media tersebut menyelar keputusan pasukan Vietnam yang tidak mengambil peluang beraksi dalam sebarang perlawanan persahabatan semasa jendela FIFA bulan Jun, berbanding negara jiran seperti Malaysia, Thailand, Singapura dan Kemboja yang masing-masing mengatur perlawanan persiapan.

“Vietnam tidak beraksi pada mana-mana aksi persahabatan FIFA bulan Jun dan tidak akan beraksi juga pada bulan September kerana Kim Sang-sik bakal mengetuai skuad B-23 untuk Kelayakan Piala Asia B-23,” lapor Tuoi Tre News.

Lebih memburukkan keadaan, skuad Bintang Pahlawan Emas turun tanpa penyerang tulen, menyukarkan misi untuk menembusi pertahanan Malaysia yang diketuai barisan pemain warisan berkaliber.

“Ketiadaan penyerang utama menyukarkan Vietnam, apabila berdepan dengan pemain warisan baharu Malaysia,” tambah laporan itu lagi.

Dengan kemenangan bergaya itu, Malaysia kini mengungguli tangga teratas Kumpulan F dengan kutipan 6 mata dan lonjakan +13.99 mata dalam kemas kini masa nyata FIFA.

artikel berkaitan

ARTIKEL TERBARU