Sabtu, Oktober 3, 2026

Kalah Kepada Malaysia, Presiden Vietnam Tak Tidur Dua Hari

Kekalahan besar 0-4 kepada Malaysia pada aksi Kumpulan F, Pusingan Kelayakan Akhir Piala Asia 2027 meninggalkan kesan mendalam kepada Presiden Persekutuan Bola Sepak Vietnam (VFF), Tran Quoc Tuan. Dalam perlawanan yang berlangsung di Stadium Nasional Bukit Jalil itu, skuad Harimau Malaya berjaya menamatkan penantian 11 tahun untuk menewaskan Vietnam, sekali gus membuktikan kekuatan baharu pasukan di bawah kendalian Peter Cklamovski.

Apa yang lebih mencuri perhatian ialah kemasukan lima pemain warisan baharu dari Eropah yang memberi impak segera kepada skuad kebangsaan Malaysia. Persembahan mereka bukan sahaja menyuntik kekuatan baharu, malah memberi dimensi taktikal yang sukar dibaca oleh pasukan lawan, termasuk barisan pemain Vietnam kendalian Kim Sang-sik.

Tran Quoc Tuan yang turut hadir menyaksikan kekalahan itu mengakui ia meninggalkan kesan emosi yang begitu kuat sehingga mengganggu tidur malamnya.

“Saya dah beruban dan tidak boleh tidur selama dua hari,” katanya dalam satu kenyataan selepas mesyuarat VFF pada 17 Jun lalu.

Namun begitu, beliau menegaskan bahawa Vietnam tidak akan mencontohi pendekatan Malaysia dan Indonesia dalam merekrut pemain warisan atau naturalisasi secara besar-besaran. Menurutnya, meskipun kaedah itu terbukti mampu memperkuatkan pasukan kebangsaan, ia dikhuatiri akan melemahkan saingan liga domestik dalam jangka masa panjang.

“Kami telah menganalisis strategi bola sepak dari pelbagai latar belakang. Jika kami menaturalisasikan ramai pemain, ia memang akan menguatkan lagi pasukan kebangsaan tetapi saingan liga akan semakin lemah,” ujarnya.

Vietnam dijadualkan melayan kunjungan Malaysia pada 31 Mac 2026 dalam pertembungan timbal balik yang dijangka menjadi perlawanan penting dalam misi merebut tiket ke pentas Piala Asia 2027.

artikel berkaitan

ARTIKEL TERBARU