Apple memperkenalkan iPhone 16e sebagai peranti pertama yang dilengkapi dengan modem C1, cip modem yang direka sepenuhnya oleh Apple. Dengan teknologi baharu ini, Apple menjanjikan penjimatan tenaga lebih baik, sekaligus memberikan prestasi bateri lebih lama berbanding iPhone 15 dan iPhone 16, meskipun memiliki saiz skrin yang sama.
Pembangunan modem C1 ini telah mengambil masa bertahun-tahun dengan matlamat mengurangkan kebergantungan kepada Qualcomm. Sebelum ini, Apple pernah menggunakan modem Intel, namun prestasinya yang kurang memuaskan memaksa mereka kembali kepada modem Qualcomm, walaupun kedua-dua syarikat pernah terlibat dalam pertikaian undang-undang.
Kini, Apple dilihat semakin serius dalam menghasilkan cip sendiri untuk mengawal sepenuhnya perkakasan dan perisian mereka. Langkah seterusnya adalah membangunkan cip WiFi dan Bluetooth untuk menggantikan komponen keluaran Broadcom. Dengan pengenalan modem C1, Apple membuka lembaran baharu sebagai pengeluar modem tersendiri, yang berkemungkinan besar akan turut digunakan dalam produk lain seperti MacBook pada masa hadapan.
Adakah ini strategi Apple untuk bebas sepenuhnya daripada syarikat luar? Masa akan menentukan bagaimana perubahan ini akan mengubah industri teknologi global.
