Bekas pemain pertahanan kebangsaan, Razman Roslan percaya bahawa pemilihan Stadium Sultan Ibrahim (SSI) sebagai venue aksi pertama kelayakan Piala Asia 2027 antara Malaysia dan Nepal tidak akan menjadi halangan kepada penyokong Harimau Malaya.
Laman sesawang Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) sebelum ini mengumumkan bahawa perlawanan pada 25 Mac ini akan diadakan di SSI susulan venue asal, Stadium Dasharath di Kathmandu, belum bersedia untuk menjadi tuan rumah.
Razman berpendapat bahawa penyokong tetap akan turun ke stadium untuk memberikan sokongan kepada skuad kendalian Peter Cklamovski. Baginya, lokasi perlawanan tidak menjadi isu kerana Harimau Malaya memiliki peminat di seluruh negara.
“Saya rasa bermain di mana-mana pun tidak menjadi masalah kepada penyokong skuad kebangsaan. Di Kuala Lumpur pun ada penyokong, di Johor pun ada penyokong,” katanya kepada Nadi Arena.
Beliau turut menyeru peminat bola sepak negara untuk membanjiri stadium bagi memberikan semangat kepada para pemain. Menurutnya, kemenangan dalam aksi pertama ini sangat penting untuk memastikan Harimau Malaya bermula dengan langkah kanan dalam kempen kelayakan.
SSI bukanlah venue asing buat pasukan kebangsaan, malah mereka memiliki rekod baik di stadium ini selepas menewaskan Turkmenistan dan Hong Kong dalam dua aksi persahabatan antarabangsa sebelum ini. Dengan sokongan padu penyokong, Malaysia diharap mampu mencatat kemenangan ke atas Nepal dan mengukuhkan peluang layak ke Piala Asia 2027.
