Sabtu, Oktober 3, 2026

Apple Fail Rayuan Denda RM2.55 bilion, Tegas Risiko Pengguna

Apple Inc. telah memfailkan rayuan terhadap denda €500 juta (~RM2.55 bilion) yang dikenakan oleh Kesatuan Eropah (EU) berhubung pelanggaran peraturan persaingan digital di rantau tersebut.

Denda yang dikenakan pada April lalu berpunca daripada tindakan Apple yang didapati menghalang pembangun aplikasi daripada memaklumkan pengguna tentang tawaran atau kaedah pembayaran yang lebih murah di luar ekosistem App Store.

Menurut EU, perbuatan itu melanggar prinsip persaingan sihat dan menjejaskan pilihan pengguna. Namun, Apple dalam kenyataan balasnya menyifatkan keputusan EU sebagai “melampaui undang-undang” serta mendakwa perubahan yang dipaksa ke atas mereka “mengelirukan untuk pembangun dan tidak baik untuk pengguna.”

Sebelum ini, Apple telah membuat beberapa pelarasan pada peraturan App Store, termasuk membenarkan pembangun menawarkan pilihan pembayaran alternatif secara terus dalam aplikasi – satu langkah untuk mengelakkan denda harian yang tinggi. Namun, EU masih dalam proses menilai sama ada perubahan itu mencukupi mengikut kehendak Akta Pasaran Digital (DMA).

Apple juga terus mengkritik DMA sebagai undang-undang yang berat sebelah dan mendakwa mereka hanya mematuhi peraturan tersebut kerana terpaksa, demi mengelakkan penalti besar.

Kes ini dilihat sebagai pertembungan utama antara Big Tech dan penggubal undang-undang Eropah, khususnya dalam mengawal kuasa dominan syarikat teknologi dalam pasaran digital.

artikel berkaitan

ARTIKEL TERBARU