Sabtu, Oktober 3, 2026

Barisan Exco FAM Umum Letak Jawatan

Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) mengumumkan bahawa kesemua Ahli Jawatankuasa Eksekutif (Exco) bagi penggal 2025 hingga 2029 telah meletakkan jawatan secara kolektif dan sukarela, berkuat kuasa serta-merta. Keputusan itu dibuat secara sebulat suara sebagai langkah bertanggungjawab susulan situasi semasa yang mendapat perhatian umum dan memberi kesan kepada landskap bola sepak negara.

Menurut kenyataan media FAM, peletakan jawatan tersebut dibuat tanpa mengambil kira sebarang kepentingan peribadi atau jawatan, sebaliknya berpaksikan tanggungjawab organisasi dan komitmen untuk menjaga kepentingan bola sepak Malaysia secara keseluruhan. Exco FAM menegaskan bahawa tindakan itu merupakan satu langkah berhemah dan berprinsip bagi melindungi integriti FAM sebagai badan induk bola sepak negara.

Langkah drastik itu turut bertujuan menjaga reputasi FAM serta mengurangkan risiko berpanjangan yang berpotensi menjejaskan pembangunan dan pentadbiran bola sepak Malaysia sekiranya situasi semasa dibiarkan berlarutan. Selain itu, keputusan berkenaan dilihat selari dengan amalan tadbir urus yang baik serta prinsip akauntabiliti, khususnya dalam usaha memelihara dan memulihkan keyakinan awam terhadap institusi bola sepak negara.

Peletakan jawatan beramai-ramai itu juga membuka ruang kepada FIFA dan AFC untuk menilai, menyemak serta, jika perlu, menangani sebarang isu berkaitan tadbir urus dan pentadbiran dalaman FAM secara bebas, tanpa sebarang gangguan atau persepsi konflik kepentingan.

Dalam kenyataan sama, Jawatankuasa Eksekutif menegaskan bahawa keputusan tersebut mencerminkan komitmen bahawa khidmat kepada bola sepak Malaysia adalah lebih utama berbanding tempoh jawatan yang diamanahkan. Untuk rekod, Exco berkenaan hanya berkhidmat selama kira-kira 11 bulan walaupun diberikan mandat empat tahun bagi penggal 2025 hingga 2029.

Walaupun tidak lagi memegang sebarang jawatan rasmi, bekas Ahli Jawatankuasa Eksekutif FAM menegaskan komitmen mereka untuk terus memberikan kerjasama penuh kepada FIFA, AFC serta semua pihak berkepentingan yang relevan. Kerjasama itu, menurut mereka, penting demi memastikan kepentingan jangka panjang bola sepak Malaysia terus terpelihara serta pembaharuan yang diperlukan dapat dilaksanakan berlandaskan kepercayaan dan ketelusan.

artikel berkaitan

ARTIKEL TERBARU