Sabtu, Oktober 3, 2026

Berita Baik buat Harimau Malaya?

Malaysia menerima suntikan semangat menjelang CAFA Nations Cup 2025 apabila penyertaan rasmi skuad Harimau Malaya ke kejohanan itu diumumkan. Skuad kendalian Peter Cklamovski bakal ke Asia Tengah dalam misi memperkemas barisan utama menjelang perjuangan sebenar di Kumpulan F, Pusingan Kelayakan Akhir Piala Asia 2027.

Dalam kejohanan yang bakal berlangsung dari 26 Ogos hingga 9 September di Uzbekistan dan Kyrgyzstan itu, Harimau Malaya akan beraksi sebagai pasukan jemputan bersama Oman — yang kini menghuni ranking ke-77 dunia. Mereka akan bersaing dengan enam lagi pasukan kuat dari Asia Tengah iaitu Iran (ranking 18 dunia), Uzbekistan (57), Kyrgyzstan (103), Tajikistan (104), Turkmenistan (142) dan Afghanistan (160).

Penyertaan Malaysia dalam CAFA Nations Cup ini bukan sahaja penting dari segi pengalaman, tetapi juga medan terbaik buat jurulatih Peter Cklamovski menilai kekuatan sebenar pasukan sebelum menghadapi dua aksi penting menentang Laos dalam kelayakan Piala Asia Oktober nanti.

Kejayaan lima pemain warisan baharu — Facundo Garces, Jon Irazabal, Imanol Machuca, Joao Figueiredo dan Rodrigo Holgado — ketika menentang Vietnam sebelum ini menimbulkan persoalan mengenai siapakah yang bakal mengisi skuad utama ke CAFA.

Menurut laporan wartawan Astro Arena, Zulhelmi Zainal Azam, pemain “Malaysian Abroad” dijangka menyertai skuad kebangsaan bergantung kepada jadual liga kelab masing-masing.

Ketua jurulatih negara optimis bahawa pendedahan bertemu pasukan lebih kuat seperti Iran dan Uzbekistan amat penting untuk meningkatkan prestasi anak buahnya.

“Ini adalah peluang dan sesuatu yang mencabar untuk ke CAFA Nations Cup berdepan Iran, Uzbekistan yang sudah layak ke Piala Dunia,” kata Peter Cklamovski.

Beliau menambah bahawa setiap pasukan dalam kejohanan tersebut bakal memberi cabaran tersendiri dan menuntut perancangan rapi.

CAFA Nations Cup kini menjadi medan persiapan utama buat Harimau Malaya sebelum meneruskan misi layak ke Piala Asia 2027 — sebuah impian besar bola sepak Malaysia.

artikel berkaitan

ARTIKEL TERBARU