MFL Sedia Bantu Harimau Malaya Hadapi CAFA Nations Cup 2025

2769

Persediaan skuad Harimau Malaya ke CAFA Nations Cup 2025 mendapat suntikan moral apabila Malaysian Football League (MFL) tampil memberi kerjasama penuh berkaitan penjadualan Liga Malaysia.

Skuad bimbingan jurulatih Peter Cklamovski bakal berlepas ke Asia Tengah bagi menghadapi kejohanan CAFA Nations Cup yang akan berlangsung dari 26 Ogos hingga 9 September 2025 di Uzbekistan dan Kyrgyzstan. Namun, tarikh permulaan kejohanan ini menimbulkan persoalan kerana ia berada di luar kalendar FIFA dan bertindih dengan saingan Liga Malaysia yang membuka tirai pada 8 Ogos.

Mengulas perkara itu, Peter Cklamovski memaklumkan bahawa beliau telah mengadakan pertemuan bersama pihak MFL untuk membincangkan isu jadual dan kelayakan pemain.

“Kami sudah bercakap kepada pihak MFL mengenai aspek jadual perlawanan dengan berkerjasama bagi memastikan pemain bersedia ketika kejohanan itu nanti,” ujar Cklamovski dalam satu temu bual bersama wartawan Zulhelmi Zainal Azam.

Kerjasama itu disambut baik oleh Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) MFL, Mohd Shazli Shaik, yang menegaskan bahawa MFL sentiasa menyokong aspirasi skuad kebangsaan dan bersedia membantu memastikan kejohanan penting ini tidak terganggu.

“MFL melihat ini salah satu kejohanan yang penting untuk persiapan skuad kebangsaan bagi hadapi Kelayakan Piala Asia pada Oktober hadapan,” katanya kepada Stadium Astro.

Sebagai tanda sokongan, MFL akan mengosongkan jadual Liga Super sepanjang tempoh kejohanan, sekali gus memberi laluan penuh kepada skuad negara untuk membuat persiapan rapi tanpa gangguan komitmen kelab.

CAFA Nations Cup 2025 menyaksikan penyertaan lapan negara dari Asia dan bakal menjadi medan penting buat Harimau Malaya mengasah taring menjelang baki aksi kelayakan Piala Asia tidak lama lagi.