Stadium Darul Makmur mencatat sejarah tersendiri apabila menjadi padang rumput asli pertama di Malaysia yang menerima pensijilan daripada Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) menerusi Program Kualiti FIFA bagi Permukaan Padang Semulajadi.
Perkara itu dimaklumkan oleh Exco Komunikasi dan Multimedia, Belia, Sukan dan Badan-badan Bukan Kerajaan Negeri Pahang, Fadzli Kamal, yang turut berkongsi kejayaan ini sebagai satu pencapaian membanggakan buat negeri Pahang.
Menurut beliau, padang berkenaan memperoleh markah 93% hasil penilaian penuh yang dijalankan oleh konsultan bertauliah FIFA, Acousto-Scan Pty Ltd. pada 23 dan 24 April 2025.
“Lebih membanggakan, padang Stadium Darul Makmur berjaya meraih penarafan cemerlang dengan markah 93%,” katanya dalam satu kenyataan rasmi.
Fadzli menegaskan bahawa pengiktirafan ini mencerminkan keupayaan kerajaan negeri dalam membangunkan kemudahan sukan bertaraf antarabangsa, sekaligus mengangkat status infrastruktur sukan di Pahang.
Selain meningkatkan kualiti permainan dan mengurangkan risiko kecederaan kepada pemain, padang baharu ini juga membuka peluang kepada Sri Pahang FC menjadi tuan rumah perlawanan bertaraf antarabangsa, termasuk aksi membabitkan skuad kebangsaan, Harimau Malaya.
Pengiktirafan ini sekaligus meletakkan Stadium Darul Makmur dalam senarai venue elit di rantau ini, sejajar dengan aspirasi pembangunan bola sepak negara.
