Harimau Malaya bakal mendapat suntikan semangat menjelang aksi pertama kelayakan Piala Asia 2027 menentang Nepal. Pusingan ketiga kelayakan menyaksikan Malaysia berada dalam Kumpulan F bersama Nepal, Laos dan juara ASEAN Championship 2024, Vietnam.
Berdasarkan jadual kumpulan, Malaysia dijadualkan bertemu dengan The Gorkhalis di Kathmandu, Nepal pada 25 Mac ini. Namun, laporan daripada wartawan Astro Arena, Zulhelmi Zainal Azam, mengesahkan kemungkinan besar Malaysia akan menjadi tuan rumah bagi perlawanan ini.
Perubahan ini berikutan keadaan Stadium Dasharath di Kathmandu yang dilaporkan belum bersedia untuk menjadi venue perlawanan. Jika keputusan ini dimuktamadkan, Harimau Malaya berpeluang untuk bermain di laman sendiri, iaitu di Stadium Nasional Bukit Jalil.
Selain memberi kelebihan kepada skuad negara, perlawanan ini juga menjadi pentas pertama buat Peter Cklamovski sebagai jurulatih baharu Malaysia. Lebih menarik, ia turut menjadi medan pengenalan buat lapan bintang warisan yang bakal memperkuatkan pasukan kebangsaan.
Bukan sahaja Malaysia bakal membuka kempen kelayakan di hadapan penyokong sendiri, perlawanan ini juga dijangka menjadi aksi sulung buat jurulatih baharu Nepal, Matt Ross, yang merupakan rakan senegara Cklamovski.
Sekiranya perubahan venue ini disahkan, ia bakal memberi kelebihan besar buat Harimau Malaya dalam misi melangkah ke Piala Asia 2027.
