Bintang muda Johor Darul Ta’zim (JDT), Arif Aiman, telah menerima penghargaan eksklusif daripada Tunku Mahkota Johor (TMJ) berupa seutas jam tangan Rolex Daytona Custom. Hadiah istimewa ini diberikan sebagai tanda penghargaan atas prestasi cemerlang dan sumbangannya dalam kejayaan pasukan JDT.
Jam tangan ini bukan sekadar aksesori biasa, tetapi direka khas dengan elemen peribadi yang menjadikannya satu-satunya di dunia. Beberapa ciri unik yang terdapat pada jam tersebut termasuk dihiasi permata berlian yang menambah nilai eksklusifnya, ukiran nombor 42 yang merupakan nombor jersi Arif Aiman dihiasi dengan berlian mewah, kata-kata motivasi khas daripada TMJ di bawah logo Rolex, serta ukiran eksklusif pada bahagian belakang yang berbunyi “Priority only for Arif Aiman and one the world only not to sale”. Jam ini juga mempunyai berat mencecah 300 gram, menggunakan bahan berkualiti tinggi menjadikannya lebih mewah dan eksklusif.
Jam tangan ini ditempah terus daripada Rolex dan dibuat khas mengikut spesifikasi yang ditetapkan oleh TMJ. Proses pembuatannya melibatkan 30 pakar dalam bidang masing-masing dan disiapkan hanya dalam tiga hari selepas JDT meraih kemenangan ke atas Coast Centre. Rolex juga telah menjalin kerjasama eksklusif dengan JDT, menjadikan rekaan jam ini lebih istimewa kerana ia ditempah khas untuk TMJ dan pemain tertentu sahaja.
Ramai yang tertanya-tanya mengenai nilai jam tangan eksklusif ini. Walaupun harga sebenar tidak didedahkan, jam tangan Rolex Daytona standard boleh mencecah sehingga $107,500 (sekitar RM500,000). Namun, dengan penambahan permata berlian, ukiran khas, serta statusnya sebagai jam one-of-a-kind, harganya dianggarkan bernilai setanding sebuah banglo mewah.
Pemberian jam tangan ini menunjukkan pengiktirafan tinggi TMJ terhadap sumbangan Arif Aiman dalam menaikkan prestasi pasukan JDT. Ia bukan sekadar hadiah bernilai tinggi, tetapi simbol penghargaan dan keyakinan terhadap masa depan cemerlang pemain muda ini dalam arena bola sepak Malaysia. Tahniah Arif Aiman atas penghargaan ini dan semoga terus cemerlang bersama JDT.
