Pemain sayap kebangsaan, Safawi Rasid, menyifatkan golnya menentang Selangor FC dalam separuh akhir Piala FA 2024 sebagai antara jaringan terbaik sepanjang musim ini.
Sejak dipinjamkan ke Terengganu FC dari Johor Darul Ta’zim (JDT) untuk musim 2024/25, pemain berusia 27 tahun itu kembali menemui rentak terbaiknya. Setakat ini, Safawi telah menjaringkan 13 gol dan mencipta tiga bantuan gol dalam 27 penampilan bersama skuad Peteh.
Ketika ditanya mengenai gol terbaik musim ini, Safawi memilih sepakan percuma menentang Selangor, yang melepasi barisan pertahanan lawan sebelum menerjah jaring. “Gol sepakan percuma dari belah kanan, melepasi barisan pertahanan. Gol terbaik,” katanya kepada wartawan Astro Arena, Zulhelmi Zainal Azam.
Selain itu, Safawi turut mendedahkan bahawa gol tersebut merupakan salah satu daripada tiga gol yang dijaringkan menerusi sepakan percuma musim ini. “Musim ini, saya rasa tiga gol secara sepakan percuma. Alhamdulillah, bolehlah. Rezeki,” tambahnya.
Ketajaman Safawi dijangka menjadi aset penting buat jurulatih Terengganu, Badrul Afzan Razali, dalam aksi terakhir Kumpulan A Shopee Cup menentang BG Pathum United pada 5 Februari ini. Perlawanan ini bakal menjadi penentu bagi kedua-dua pasukan dalam memburu slot separuh akhir Shopee Cup.
