Sabtu, Oktober 3, 2026

JDT Rancang Jelajah Pra-Musim ke Arab Saudi

Kelab Johor Darul Ta’zim (JDT) kini dalam perancangan untuk mengatur jelajah pra-musim di Arab Saudi, seperti yang disahkan oleh pemilik kelab, DYAM Tunku Mahkota Ismail, Pemangku Sultan Johor. Keputusan ini dibuat selepas melihat pencapaian luar biasa yang diraih oleh JDT di peringkat Asia.

Baru-baru ini, Opta Analyst meletakkan JDT di kedudukan ke-8 Asia dengan 80.0 mata, sekali gus mengatasi tiga kelab gergasi J-League iaitu Kashima Antlers (9), Kawasaki Frontale (10), dan Yokohama FM (11).

Seorang pengguna laman X mencadangkan agar JDT mengadakan perlawanan persahabatan dengan kelab di Arab Saudi, memandangkan Harimau Selatan kini hampir setaraf dengan kelab-kelab terbaik di sana. Cadangan ini disambut baik oleh Tunku Ismail, yang mengesahkan bahawa perancangan ke arah itu sedang dilakukan oleh pengurusan kelab.

Sebelum ini, JDT pernah menjalani pra-musim di Sepanyol, menghadapi tujuh kelab dari divisyen kedua hingga keenam negara itu. Selain itu, kelab juara Liga Super 10 kali berturut-turut ini juga telah mengadakan jelajah pra-musim di Emiriah Arab Bersatu (UAE) dari tahun 2020 hingga 2023. Jika perancangan ini menjadi kenyataan, JDT bakal menguji keupayaan mereka di peringkat lebih tinggi dengan berdepan kelab dari liga kompetitif Arab Saudi.

artikel berkaitan

ARTIKEL TERBARU