Seorang pelajar Indonesia yang pernah menetap bertahun-tahun di Malaysia telah mencetuskan perhatian di media sosial selepas memuat naik video membandingkan tahap kebersihan antara Malaysia dan Indonesia.
Dalam video yang dimuat naik di Instagram, pelajar bernama Yusril berkongsi pengalaman budaya yang mengejutkan apabila kembali ke Jakarta Selatan dan mengunjungi sebuah Family Mart.
“Sampah berselerak di atas meja dan lantai. Sepanjang saya berada di Malaysia, Family Mart sentiasa bersih dan pengunjung bertanggungjawab membersihkan tempat masing-masing,” katanya.
Beliau turut mengaitkan isu kebersihan dengan mentaliti rakyat, dan menyatakan bahawa disiplin terhadap kebersihan mencerminkan tahap kecerdasan sesebuah masyarakat.
“Saya faham mengapa data menunjukkan purata IQ rakyat Indonesia masih rendah, iaitu 78. Ini bukan untuk menghina, tetapi sebagai satu peringatan,” katanya lagi.
Yusril menekankan bahawa kebersihan adalah simbol kemajuan, bukan sekadar soal rupa fizikal, tetapi menggambarkan sikap, disiplin dan kesedaran sivik masyarakat terhadap kemudahan awam.
