Sabtu, Oktober 3, 2026

Cuti gantian 1 Februari: Penjawat awam sehari, swasta dua hari

KUALA LUMPUR: Penjawat awam di Wilayah Persekutuan hanya akan menikmati satu hari cuti gantian, manakala pekerja sektor swasta layak dua hari cuti susulan pertindihan sambutan Hari Wilayah Persekutuan dan Thaipusam yang jatuh pada Ahad, 1 Februari 2026.

Menurut Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA), penjawat awam di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan hanya diberikan tundaan hari kelepasan am pada 2 Februari 2026. Penetapan ini dibuat selaras Seksyen 3 Akta Hari Kelepasan 1951 (Akta 369) yang memperuntukkan bahawa jika hari kelepasan am jatuh pada hari kelepasan mingguan, maka hari berikutnya dijadikan cuti gantian.

JPA turut menegaskan bahawa ketetapan cuti gantian yang diumumkan untuk sektor swasta tidak terpakai kepada penjawat awam, walaupun kedua-dua perayaan jatuh pada tarikh yang sama.

Sementara itu, Jabatan Tenaga Kerja Semenanjung Malaysia (JTKSM) memaklumkan bahawa Kerajaan Persekutuan telah mewartakan Hari Wilayah Persekutuan dan Thaipusam sebagai hari kelepasan am pada 1 Februari 2026. Bagi pekerja sektor swasta di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan, majikan wajib memberikan cuti Hari Wilayah Persekutuan selaras Seksyen 60D(1)(a)(iii) Akta Kerja 1955 (Akta 265) dan tidak boleh diganti. Kesan pertindihan ini membolehkan pekerja sektor swasta menikmati cuti sehingga 3 Februari 2026.

Ringkasnya, penjawat awam cuti sehari pada 2 Februari, manakala pekerja swasta cuti dua hari susulan pertindihan perayaan pada 1 Februari 2026.

artikel berkaitan

ARTIKEL TERBARU