Ahad, Oktober 4, 2026

FIFA Dedah Alasan Hukuman, Hannah Desak FAM Ambil Tindakan

Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh menggesa Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) supaya tidak berdiam diri dan segera memfailkan rayuan terhadap keputusan Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) yang menjatuhkan hukuman ke atas FAM serta tujuh pemain warisan negara.

Beliau menegaskan bahawa langkah rayuan perlu dilaksanakan segera bagi memastikan semua pihak mendapat keadilan serta penjelasan menyeluruh berhubung alasan yang dikemukakan FIFA dalam penghakiman terperinci yang dikeluarkan baru-baru ini.

“Saya telah membaca Alasan Penghakiman FIFA. FAM perlu melengkapkan proses rayuan – mengumumkan hasrat untuk merayu dan memfailkannya.

“FAM tidak boleh berdiam diri dan mesti menjawab secara jelas tentang segala pendedahan yang dibuat oleh FIFA. Penyokong bola sepak tanah air berasa terluka, marah dan kecewa,” katanya dalam satu hantaran di Facebook.

Hannah turut menzahirkan keprihatinan terhadap perasaan penyokong bola sepak tempatan yang mahukan ketelusan dan tindakan segera daripada badan induk bola sepak negara itu. Beliau berkata, kejujuran dan kebertanggungjawaban perlu menjadi keutamaan bagi memulihkan keyakinan peminat terhadap pengurusan sukan bola sepak tanah air.

Dalam masa sama, beliau mengingatkan penyokong agar tidak melupakan pasukan Harimau Malaya yang bakal turun menentang Laos pada 9 dan 14 Oktober ini dalam dua aksi antarabangsa.

“Kita juga tidak boleh melupakan pasukan Harimau Malaya yang akan menentang Laos minggu ini. Kepada pemain Malaysia, kami sentiasa bersama anda,” tambahnya.

Susulan kenyataan itu, FAM dalam maklum balas ringkas memaklumkan bahawa pihaknya akan mengemukakan rayuan kepada FIFA berhubung hukuman yang dijatuhkan.

Langkah tersebut dijangka menjadi medan penting buat FAM untuk menjelaskan kedudukan sebenar isu pemain warisan dan mempertahankan imej bola sepak negara di peringkat antarabangsa.

artikel berkaitan

ARTIKEL TERBARU