Sabtu, Oktober 3, 2026

Akmal Salleh gesa kuasa merotan dikembalikan kepada guru

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Merlimau, Dr. Akmal Saleh, menggesa agar kuasa merotan dikembalikan kepada guru sebagai langkah mendidik pelajar dan mengawal disiplin di sekolah.

Gesaan itu dibuat susulan tular kes jenayah seksual membabitkan pelajar sekolah di Melaka baru-baru ini. Menurut Dr. Akmal, ketiadaan rasa takut dan hormat terhadap guru menjadi antara punca utama pelajar semakin berani melakukan kesalahan serius, termasuk gangguan seksual.

Beliau menegaskan bahawa tindakan merotan bukan bertujuan untuk mencederakan pelajar, sebaliknya sebagai pengajaran dan peringatan supaya mereka tidak mengulangi kesilapan yang sama.

“Jika tiada rasa takut, maka susah nak timbul rasa hormat. Merotan bukan mahu membunuh, tetapi untuk mengingatkan apa kesalahan kita supaya menjadi manusia beriman di masa mendatang,” katanya dalam satu hantaran di Facebook.

Dr. Akmal turut menambah bahawa guru perlu diberi semula autoriti sewajarnya dalam mendidik pelajar agar sistem pendidikan tidak hanya menekankan akademik semata-mata, tetapi juga pembentukan akhlak dan disiplin.

Katanya, masyarakat perlu memahami bahawa disiplin di sekolah adalah tanggungjawab bersama antara ibu bapa dan guru, dan bukan semata-mata urusan pihak sekolah.

artikel berkaitan

ARTIKEL TERBARU