Isnin, Oktober 5, 2026

PETRONAS Beku Pengambilan Pekerja Baharu Hingga 2026

Petroliam Nasional Berhad (PETRONAS) kini sedang melaksanakan transformasi strategik secara menyeluruh bagi memastikan syarikat kekal kompetitif, tangkas dan bersedia menghadapi cabaran industri tenaga global yang semakin kompleks.

Sebagai sebahagian daripada pelan ini, PETRONAS akan membekukan pengambilan pekerja baharu sehingga Disember 2026, kecuali untuk jawatan kritikal yang akan dinilai secara kes demi kes.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan PETRONAS, Tan Sri Tengku Muhammad Taufik Tengku Aziz, berkata langkah itu melibatkan semakan semula ke atas operasi syarikat meliputi aset, proses, perbelanjaan dan tenaga kerja.

“Kami akui proses ini mungkin melibatkan pelarasan tenaga kerja yang sukar tetapi perlu, dengan anggaran pengurangan kira-kira 10 peratus daripada jumlah keseluruhan tenaga kerja kami,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut beliau, semua kakitangan yang terjejas akan dimaklumkan secara berperingkat sehingga hujung tahun ini dan syarikat komited menguruskan proses itu dengan telus dan beretika.

Langkah pembekuan pengambilan ini juga merupakan strategi menyeluruh untuk menilai keperluan sumber manusia sejajar dengan hala tuju baharu syarikat, termasuk pelaburan dalam tenaga hijau dan boleh baharu.

Transformasi ini dilihat penting bagi mengekalkan daya saing PETRONAS serta memperkukuh asas pertumbuhan syarikat dalam menghadapi landskap pasaran global yang mencabar untuk dekad akan datang.

artikel berkaitan

ARTIKEL TERBARU