Ahad, Oktober 4, 2026

Kata Ekonomi Baik, Tapi Buang Orang – Isham Jalil

Aktivis politik, Isham Jalil mempersoalkan tindakan Petroliam Nasional Berhad (Petronas) yang mengumumkan akan mengurangkan kira-kira 10% tenaga kerjanya — bersamaan lebih 5,000 pekerja — sebagai langkah penstrukturan semula.

Bekas Ketua Penerangan UMNO itu menyifatkan keputusan tersebut bercanggah dengan kenyataan yang sering dikeluarkan oleh kerajaan dan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, yang mendakwa ekonomi negara berada dalam keadaan kukuh.

“Ketika saya di Unit Perancangan Ekonomi dahulu, minyak pernah jatuh sehingga USD38 setong, tapi tiada pembuangan pekerja berskala besar seperti ini. Sekarang harga sekitar USD65 setong, tapi 5,000 orang dibuang kerja,” kata Isham dalam satu video dimuat naik di TikTok.

Kenyataan Isham hadir selepas Ketua Pegawai Eksekutif Petronas, Tan Sri Tengku Muhammad Taufik Tengku Aziz mengesahkan bahawa langkah pengurangan tenaga kerja diambil bagi mengurangkan kos operasi susulan kejatuhan harga minyak mentah global.

Menurut beliau, semua pekerja yang terlibat akan dimaklumkan selewat-lewatnya hujung tahun ini.

Isham turut memberi amaran bahawa keputusan ini bakal menjejaskan keyakinan rakyat terhadap kerajaan, terutamanya selepas penarikan subsidi bahan api seperti diesel dan tarif elektrik yang dijangka membawa kepada peningkatan kos sara hidup.

“Macam mana buruk pun kerajaan dahulu, tidak pernah sampai ke tahap ini. Dulu kamu janji harga barang dan minyak turun, tol percuma, hapuskan PTPTN — semua tak jadi,” katanya lagi.

Isham mendesak agar kerajaan tampil memberikan penjelasan yang lebih telus berhubung keadaan sebenar ekonomi negara dan kesan langsung kepada rakyat yang terkesan dengan langkah-langkah drastik seperti ini.

artikel berkaitan

ARTIKEL TERBARU