Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, menaruh harapan tinggi agar kepimpinan baharu Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dapat membawa perubahan besar dalam bola sepak negara.
Harapan itu dizahirkan selepas beliau mengadakan pertemuan dengan Presiden baharu FAM, Datuk Mohd Joehari Ayub, di Bangunan Perdana Putra, Putrajaya. Turut hadir dalam pertemuan itu ialah Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh, serta mantan Presiden FAM, Tan Sri Haji Hamidin Mohd Amin.
Dalam sesi perbincangan, Joehari berkongsi agenda pembangunan bola sepak negara, khususnya dalam memperkasakan pembangunan pemain muda dan program akar umbi. Selain itu, beliau turut membentangkan persiapan Harimau Malaya menjelang aksi pertama Kelayakan Piala Asia 2027 menentang Nepal pada 25 Mac.
Selepas pertemuan itu, Anwar mengucapkan selamat maju jaya kepada barisan kepimpinan baharu FAM bagi penggal 2025-2029 dan berharap mereka mampu membawa bola sepak Malaysia ke tahap lebih tinggi.
“Selamat maju jaya buat barisan kepimpinan baharu FAM. Semoga dapat membawa perubahan signifikan kepada sukan bola sepak negara,” tulis beliau di laman X.
Joehari diiringi Timbalan Presiden FAM, Dato’ S. Sivasundaram, serta tiga Naib Presiden, Datuk Seri Hj. Rosmadi Ismail, Dato’ Mohd Azhar Jamaluddin, dan Dato’ Dollah Salleh. Turut menyertai rombongan ialah Exco FAM, Datuk Zainal Abidin Hassan dan Setiausaha Agung FAM, Datuk Noor Azman Hj Rahman.
Dengan kepimpinan baharu, peminat bola sepak negara kini menantikan hala tuju serta inisiatif baharu yang bakal diperkenalkan untuk meningkatkan prestasi dan kualiti bola sepak Malaysia di pentas antarabangsa.
