Selasa, November 4, 2025

Buriram United Hadapi JDT Tanpa Theerathon Bunmathan

Buriram United bakal turun tanpa kapten mereka, Theerathon Bunmathan, dalam perlawanan pusingan 16 pertama Liga Juara-Juara AFC Elit (ACLE) menentang Johor Darul Ta’zim (JDT).

Pemain berusia 35 tahun itu sebelum ini telah digantung tiga perlawanan oleh Jawatankuasa Disiplin Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) susulan insiden kontroversi membabitkan Arif Aiman Hanapi pada aksi Liga Timur ACLE di Stadium Sultan Ibrahim (SSI) pada 3 Disember lalu. Akibatnya, Theerathon sudah pun terlepas dua perlawanan terakhir ACLE menentang Ulsan HD dan Gwangju FC.

Lebih malang buat Thunder Castle, Theerathon kini berdepan kecederaan ligamen selepas bertembung dengan Giancarlo Gallifuoco dalam aksi Shopee Cup menentang KL City FC pada 6 Februari lalu. Kecederaan ini berkemungkinan memaksanya berehat panjang sehingga akhir musim.

Tanpa kehadiran pemain berpengalaman itu, pengendali Buriram, Osmar Loss Vieira, dijangka memilih sama ada Sasalak Haiprakorn atau Narubadin Weerawatnodom sebagai kapten pasukan dalam pertembungan penting menentang JDT.

Ketiadaan Theerathon pastinya satu tamparan buat Buriram, tetapi dalam bola sepak, segalanya masih boleh berlaku. Adakah JDT mampu mengambil kesempatan atas kehilangan pemain utama lawan? Jawapannya bakal terjawab dalam aksi sengit pusingan 16 ACLE.

artikel berkaitan

ARTIKEL TERBARU