Microsoft akan menamatkan sokongan untuk Windows 10 pada 14 Oktober 2025. Selepas tarikh itu, tiada lagi kemas kini keselamatan, pembetulan perisian atau bantuan teknikal. Pengguna kini berdepan tiga pilihan—terus menggunakan Windows 10 tanpa kemas kini, menaik taraf ke Windows 11 atau membeli PC baharu jika peranti tidak menyokong TPM 2.0.
Namun, Microsoft kini mengetatkan sekatan bagi pengguna yang ingin memasang Windows 11 pada peranti tidak disokong. Sebelum ini, terdapat cara tidak rasmi untuk melepasi keperluan minimum seperti TPM 2.0 dan CPU tertentu. Tetapi Microsoft telah mengalih panduan rasmi mengenai cara memasang Windows 11 secara manual dan menandakan aplikasi pihak ketiga seperti Flyby11 sebagai malware dalam Windows Defender.
Langkah ini memberi isyarat bahawa Microsoft mahu pengguna beralih ke Windows 11 dengan peranti yang memenuhi spesifikasi atau membeli PC baharu. Jika anda masih menggunakan Windows 10, ini masa terbaik untuk membuat keputusan sebelum sokongannya benar-benar berakhir.
