Sabtu, Oktober 3, 2026

Aplikasi MySejahtera Dikemaskini Dengan Rekaan Antaramuka Baharu

Aplikasi MySejahtera kini menerima kemaskini besar dengan penampilan antaramuka baharu yang lebih kemas, moden dan tersusun. Sebagai aplikasi yang pernah menjadi keperluan utama rakyat Malaysia sewaktu pandemik Covid-19, MySejahtera kini melangkah lebih jauh sebagai pusat sehenti untuk pengurusan kesihatan peribadi.

Kemaskini ini menyusun semula menu utama berdasarkan keperluan pengguna, seperti akses pantas untuk tempahan temujanji di klinik atau hospital. Bahan promosi dan informasi juga kini dipersembahkan dengan lebih teratur tanpa mengganggu pengalaman pengguna.

“Rekaan baharu ini menjadikan MySejahtera sebagai aplikasi kesihatan menyeluruh yang lebih mesra pengguna,”

Selain daripada fungsi sedia ada seperti semakan butiran vaksinasi, aplikasi ini kini menekankan penggunaannya sebagai rekod kesihatan digital. Untuk fasa pertama, pengguna boleh mengakses maklumat vaksinasi, keputusan saringan kesihatan, serta senarai temujanji terdahulu di klinik atau hospital.

Aplikasi ini juga akan diperluaskan secara berperingkat dengan integrasi maklumat tambahan seperti keputusan ujian makmal, preskripsi ubat, dan ringkasan rawatan selepas keluar dari pusat kesihatan.

MySejahtera turut memperkenalkan ciri keselamatan tambahan, memastikan hanya pengguna yang sah dapat mengakses rekod kesihatan peribadi mereka.

Bagi pengguna iPhone dan Android, kemaskini ini kini tersedia untuk dimuat turun melalui App Store dan Play Store. Jika anda belum mengemaskini, ini masanya untuk menikmati rekaan baharu dan fungsi kesihatan yang lebih menyeluruh dalam MySejahtera.

artikel berkaitan

ARTIKEL TERBARU