Pemilik Kelab Johor Darul Ta’zim (JDT), DYAM Tunku Ismail, Pemangku Sultan Johor, memberi respon terhadap cadangan agar skuad Harimau Selatan tidak lagi bersaing dalam Liga Malaysia susulan dominasi mereka dalam saingan domestik.
Isu ini timbul selepas beberapa pihak mendakwa bahawa JDT menjadi punca Liga Malaysia kurang kompetitif, memandangkan pasukan itu telah menjuarai Liga Super selama 10 musim berturut-turut serta merangkul pelbagai trofi domestik lain.
Namun, JDT bukan sahaja menguasai liga tempatan, malah turut mencipta sejarah di pentas Asia dengan berada dalam kedudukan terbaik untuk layak ke pusingan kalah mati AFC Champions League Elite (ACLE), selain menyumbang mata penting kepada AFC MA Ranking Malaysia.
Menjawab perkara ini, Tunku Ismail menegaskan bahawa JDT merupakan satu-satunya kelab Malaysia yang bersaing di peringkat Asia dan sepatutnya diberi sokongan, bukan dipertikaikan.
“Kitalah satu-satunya kelab. Patut yang ada berasa bangga kita wakil negara (Malaysia), Asia Tenggara serta memberi sumbangan dalam AFC MA Ranking,” tegasnya.
Baginda juga mengkritik segelintir pihak yang mencadangkan agar JDT dikeluarkan dari liga sambil terus mengutuk penganjuran liga domestik.
“Ini tidak, nak kami (JDT) keluar dari liga dan mengutuk liga sendiri pasal tak puas hati.”
Tunku Ismail turut mengingatkan pengurusan kelab lain supaya memberi fokus kepada perkara lebih penting seperti pengurusan kewangan, perancangan pasukan, pembangunan pemain, serta infrastruktur, dan tidak sekadar menyalahkan liga atau badan induk.
“Pasukan sendiri dan orang dalam pengurusan masing-masing yang tak betul dengan pelbagai isu, (kemudian) salahkan liga dan badan induk.”
“Anda uruskan dana, perancangan pasukan, pembangunan, dan infrastruktur dengan cara yang tidak betul, tapi ambil jalan mudah salahkan orang lain. Itu adalah mentaliti kalah dan tidak bertanggungjawab.”
Dengan kejayaan JDT di peringkat domestik dan antarabangsa, pasukan lain sepatutnya melihat contoh yang ditunjukkan dalam aspek pengurusan profesional dan pembangunan bola sepak, bukannya mencari alasan terhadap kelemahan sendiri.
