Kementerian Digital mengesahkan bahawa Digital Nasional Berhad (DNB) telah memulakan proses penstrukturan semula syarikat dengan pengemaskinian pelan perniagaan, pendanaan, serta pengoptimuman kos secara lebih radikal.
Langkah ini dibuat bagi menyesuaikan operasi DNB dengan peralihan daripada model Rangkaian Borong Tunggal (SWN) kepada model Dwirangkaian 5G, yang memerlukan perubahan ketara dalam struktur syarikat memandangkan DNB asalnya ditubuhkan berdasarkan model SWN.
Peralihan Pegangan Saham Kerajaan dalam DNB
- Kerajaan kini memiliki 34.9% pegangan ekuiti dalam DNB serta pegangan saham khas.
- Selaras dengan peralihan ke model dwirangkaian 5G, kerajaan akan menerima bayaran bagi pegangan sahamnya dalam DNB, sebelum melepaskannya kepada syarikat telekomunikasi (telco) yang menjadi pemegang saham DNB.
- Dana pinjaman kerajaan kepada DNB akan dibayar balik oleh telco yang terlibat, termasuk faedah pinjaman yang dikenakan.
- Pinjaman yang sebelum ini dijamin oleh kerajaan juga akan dibiayai semula, dan kerajaan akan dilepaskan daripada sebarang obligasi jaminan tersebut.
Kerjasama DNB dengan Telco dan Pakar Industri
DNB kini bekerjasama rapat dengan syarikat telekomunikasi yang memegang sahamnya, selain mendapatkan khidmat pakar perunding bagi memastikan kelancaran peralihan ini.
Kerajaan turut menegaskan komitmennya untuk membantu DNB dalam fasa penstrukturan semula, serta memastikan kejayaan dua rangkaian 5G yang bakal diwujudkan di bawah model dwirangkaian, bagi meningkatkan persaingan dan kecekapan dalam penyediaan perkhidmatan 5G di Malaysia.
