Pengguna rangkaian 5G di Malaysia kini mencecah 53.35%, bersamaan 18.9 juta langganan setakat suku keempat tahun lalu. Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil, menyifatkan pencapaian ini sebagai kejayaan besar dalam tempoh singkat, sekali gus mengukuhkan infrastruktur telekomunikasi negara.

Liputan 5G di kawasan berpenduduk juga telah meningkat kepada 82.4%, dengan 7,485 tapak pemancar berjaya dibina. Perkembangan ini dibentangkan dalam Mesyuarat Penyelarasan Pelaksanaan Dwirangkaian 5G yang dipengerusikan oleh Fahmi di Kementerian Komunikasi.
Selain itu, mesyuarat turut membincangkan hala tuju Digital Nasional Berhad (DNB) dan pelaksanaan rangkaian kedua yang diterajui U Mobile. Keputusan lanjut mengenai perkara ini dijangka diumumkan tidak lama lagi. Peningkatan pesat ini menunjukkan Malaysia semakin maju dalam mendigitalkan sektor komunikasi dan mempercepatkan akses internet berkelajuan tinggi untuk rakyat.
