Sabtu, Oktober 3, 2026

Kehadiran JDT Atasi Al-Nassr di ACLE

Johor Darul Ta’zim (JDT) membuktikan keunggulan mereka bukan sahaja di atas padang tetapi juga dari segi kehadiran penyokong dalam saingan Liga Juara-Juara AFC Elit (ACLE). Data daripada Transfermarkt menunjukkan angka kehadiran JDT di Stadium Sultan Ibrahim (SSI) jauh lebih tinggi berbanding Al-Nassr yang dibarisi bintang dunia termasuk Cristiano Ronaldo.

Empat aksi Al-Nassr di Al-Awwal Park hanya merekodkan 71,346 kehadiran penyokong. Sebaliknya, tiga perlawanan ACLE di SSI menyaksikan kehadiran 97,039 orang. Malah, rekod kehadiran tertinggi JDT dalam ACLE dicatatkan ketika menentang Ulsan HD dengan 34,236 penyokong membanjiri stadium untuk menyaksikan kemenangan 3-0 pasukan Harimau Selatan.

Sebagai perbandingan, Al-Nassr hanya mencatat kehadiran tertinggi seramai 23,324 penyokong dalam aksi menentang Al-Ain pada 6 November 2024. Ini menunjukkan bahawa sokongan terhadap JDT jauh lebih luar biasa berbanding kelab ternama dari Arab Saudi itu.

JDT turut mengungguli statistik kehadiran tertinggi dalam Liga Timur ACLE, mengatasi Shandong Taishan yang merekodkan 32,867 penyokong ketika menentang Gwangju pada 11 Februari lalu. Ini membuktikan betapa kuatnya sokongan penyokong Harimau Selatan dalam kejohanan elit Asia ini.

Menjelang aksi terakhir Liga Timur ACLE menentang Pohang Steelers pada 18 Februari, kehadiran penyokong di SSI dijangka menjadi faktor penting dalam membantu JDT mara ke pusingan 16 terbaik. Jika JDT mampu mencuri mata daripada pasukan Korea Selatan itu, mereka bakal melakar sejarah dengan layak ke peringkat kalah mati. Sokongan luar biasa penyokong di stadium menjadi nadi utama dalam perjalanan gemilang Harimau Selatan di pentas Asia!

artikel berkaitan

ARTIKEL TERBARU