RHB Banking Group (RHB) kini memperkenalkan RHB PayLater, penyelesaian ‘beli sekarang, bayar kemudian’ (BNPL) pertama di Malaysia yang dipaut terus pada Kad Debit RHB. Inisiatif ini membolehkan pemegang Kad Debit RHB membahagikan pembayaran sehingga RM1,499 kepada ansuran mudah di kedai terpilih tanpa faedah, tanpa syarat pendapatan dan tanpa keperluan penjamin.
Menurut kenyataan rasmi RHB, kemudahan ini diperkenalkan bagi memberi fleksibiliti kewangan kepada pelanggan dalam menguruskan perbelanjaan harian mereka. Pelanggan RHB boleh memohon RHB PayLater di mana-mana cawangan RHB dan akan menerima pengesahan melalui SMS setelah permohonan diluluskan. Bagi bukan pelanggan RHB, mereka perlu membuka Akaun Simpanan atau Semasa RHB secara dalam talian terlebih dahulu melalui aplikasi RHB Mobile Banking yang boleh dimuat turun di Google Play Store atau Apple App Store sebelum membuat permohonan di cawangan RHB terdekat.
Setelah permohonan diluluskan, pengguna boleh membuat pembelian menggunakan Kad Debit RHB di kedai yang memaparkan tanda RHB PayLater atau merujuk kepada senarai kedai terpilih di laman web rasmi RHB. Bersempena dengan pelancaran ini, RHB turut menawarkan pulangan tunai RM25 bagi pemegang Kad Debit RHB yang menggunakan RHB PayLater untuk pembelian minimum RM500 dalam tempoh promosi bermula 4 Februari hingga 30 April 2025, tertakluk kepada terma dan syarat.
Untuk maklumat lanjut mengenai RHB PayLater, pelanggan boleh melayari laman web rasmi RHB atau mengunjungi mana-mana cawangan RHB di seluruh negara.
