Ahad, Oktober 4, 2026

WhatsApp Uji Ciri “view once” di Peranti Terpaut, Tak Lagi Terhad ke Peranti Utama

WhatsApp bakal membawa kemudahan baharu kepada pengguna dengan membenarkan mesej View Once atau Lihat Sekali diakses dari mana-mana peranti terpaut, bukan hanya pada peranti utama seperti sebelum ini.

Ciri Lihat Sekali diperkenalkan pada tahun 2021 sebagai langkah meningkatkan privasi, membolehkan pengguna menghantar mesej yang hanya boleh dilihat sekali sebelum ia dipadam secara automatik. Walau bagaimanapun, satu kelemahan utama ialah mesej ini hanya boleh dibuka pada peranti utama dan tidak boleh diakses melalui peranti lain yang disambungkan. Ini menyukarkan pengguna yang sering bertukar antara peranti seperti telefon pintar kedua, tablet atau komputer.

Namun, menurut laporan WABetaInfo, Meta kini sedang menguji versi beta WhatsApp untuk Android yang membolehkan mesej Lihat Sekali boleh dibuka pada mana-mana peranti yang disambungkan ke akaun utama pengguna. Langkah ini bakal memudahkan mereka yang kerap menggunakan lebih daripada satu peranti sepanjang hari tanpa perlu bergantung hanya kepada telefon utama untuk membaca mesej sensitif atau peribadi.

Ujian ciri ini kini boleh didapati dalam versi beta WhatsApp untuk Android (2.25.3.7). Walau bagaimanapun, tiada tarikh rasmi diumumkan untuk pelancaran dalam versi stabil kepada semua pengguna. Seperti biasa, bagi mereka yang ingin mencuba ciri ini melalui APK versi beta, pastikan anda memahami risiko yang mungkin timbul, termasuk potensi pepijat atau ketidakstabilan aplikasi.

Dengan peningkatan privasi dan fleksibiliti ini, WhatsApp dilihat semakin serius dalam memastikan pengguna mendapat pengalaman komunikasi yang lebih lancar dan selamat, tanpa perlu bergantung kepada satu peranti sahaja.

artikel berkaitan

ARTIKEL TERBARU