Kesatuan Eropah (EU) mula menguatkuasakan Akta AI EU bagi mengawal selia penggunaan kecerdasan buatan (AI) untuk mengelakkan penyalahgunaan teknologi ini.
Akta ini melarang penggunaan AI yang mengeksploitasi kelemahan manusia, termasuk teknik subliminal, pemarkahan sosial, dan pengecaman emosi di tempat kerja serta institusi pendidikan. Walau bagaimanapun, pengecualian diberikan untuk tujuan perubatan dan keselamatan.
Selain itu, penggunaan sistem pengkategorian biometrik di ruang awam turut diharamkan, kecuali bagi pihak berkuasa untuk menjejaki jenayah serius seperti pemerdagangan manusia dan keganasan.
Syarikat AI kini diwajibkan menilai tahap risiko sistem mereka dan memastikan pematuhan undang-undang. Mereka juga perlu memastikan pekerja yang terlibat dalam pembangunan AI memiliki kompetensi yang mencukupi.
Langkah ini bertujuan untuk melindungi pengguna dan memastikan AI digunakan secara bertanggungjawab. Sebelum ini, ‘bapa AI’ pernah menegaskan bahawa peraturan ketat perlu ada bagi mengelakkan penyalahgunaan AI dan memastikan perkembangannya berlaku secara selamat.
