Potensi pertemuan antara Johor Darul Ta’zim (JDT) dan Al-Nassr semakin menjadi kenyataan selepas pemilik kelab, DYAM Tunku Mahkota Ismail, memberi bayangan mengenai jelajah pra-musim ke Arab Saudi.
Baginda mengesahkan bahawa perancangan ke Arab Saudi sedang dalam penyusunan, sekali gus membuka peluang bagi JDT berdepan kelab gergasi Timur Tengah seperti Al-Nassr, Al-Hilal, dan Al-Ittihad.
Lebih menarik, Tunku Ismail turut membayangkan pertemuan dengan Paris Saint Germain (PSG). Menurutnya, perlawanan tersebut 100% pasti berlaku, sama ada tahun ini atau tahun depan. Selain itu, JDT juga sedang dalam rundingan untuk beberapa perjanjian jangka pendek dan jangka panjang dengan kelab gergasi Perancis itu.
JDT bukanlah asing dalam aksi persahabatan dengan kelab besar dunia, setelah pernah menentang Borussia Dortmund, Lokomotiv Moscow, dan beberapa pasukan Eropah lain.
Musim ini, JDT telah mengharungi aksi pra-musim di Sepanyol dari 14 hingga 30 April 2025, dengan tujuh perlawanan kompetitif sebagai persiapan menghadapi saingan domestik dan peringkat Asia. Dengan perancangan pra-musim yang lebih mencabar, JDT terus membuktikan kesediaan mereka untuk bersaing di pentas lebih tinggi.
