Konfederasi Bola Sepak Asia, Asian Football Confederation memberikan perkembangan terbaharu berhubung kes membabitkan tujuh pemain warisan Harimau Malaya yang kini memasuki fasa akhir.
Kes berkenaan melibatkan FIFA, Persatuan Bola Sepak Malaysia serta tujuh pemain terbabit, sebelum dibawa ke Court of Arbitration for Sport bagi memperjuangkan kelayakan mereka mewakili pasukan kebangsaan.
Setiausaha Agung AFC, Datuk Seri Windsor John Paul memaklumkan bahawa pihaknya telah mengadakan perbincangan bersama FIFA bagi mendapatkan butiran penuh berhubung status semasa pemain terbabit.
Menurut beliau, ketika ini tujuh pemain berkenaan hanya dibenarkan beraksi bersama kelab masing-masing dan belum mendapat kebenaran untuk mewakili pasukan kebangsaan.
“Kita berbincang dengan FIFA untuk mendapatkan butiran penuh. AFC juga mahu mengetahui status sama ada pemain ini boleh beraksi buat pasukan kebangsaan atau tidak. Setakat ini, mereka hanya boleh bermain untuk kelab,” katanya selepas Mesyuarat Jawatankuasa Eksekutif Khas Kali Kelima Penggal 2025 hingga 2029 FAM.
Beliau menjelaskan, keputusan awal yang dibuat FIFA berkaitan perlawanan persahabatan melibatkan Harimau Malaya telah menetapkan bahawa tujuh pemain tersebut tidak dibenarkan beraksi di peringkat antarabangsa buat masa ini.
Bagaimanapun, kesemua pemain berkenaan telah memperoleh Stay of Execution yang membolehkan mereka terus beraksi bersama kelab sementara menunggu keputusan muktamad.
Mahkamah Timbang Tara Sukan dijadualkan mengadakan persidangan pada 26 Februari 2026 bagi memutuskan nasib tujuh pemain warisan tersebut. Keputusan itu dijangka memberi kesan besar terhadap perancangan skuad Harimau Malaya dalam menghadapi kejohanan antarabangsa akan datang.
