Sabtu, Oktober 3, 2026

JPJ Perak Menyamar Jadi Penumpang, Bongkar Kesalahan Pemandu Bas

Taktik penyamaran sebagai penumpang bas ekspres yang digunakan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Perak berjaya membongkar kesalahan pemandu dalam Ops Khas Tahun Baharu Cina 2026.

Operasi berkenaan menyaksikan Pengarah JPJ Perak, Mohammad Yusoff Abustan, sendiri turun padang dengan menyamar dan menaiki bas ekspres dari Pulau Pinang ke Ipoh bersama tiga pegawai penguat kuasa.

Menurut beliau, pendekatan itu diambil bagi menilai tahap pematuhan undang-undang secara lebih telus dan berkesan, khususnya membabitkan kenderaan perkhidmatan awam yang membawa penumpang sempena musim perayaan.

Dalam perjalanan penyamaran tersebut, pihaknya turut menjalankan pemeriksaan rawak terhadap empat bas ekspres dari Ipoh ke Pulau Pinang. Hasil pemeriksaan mendapati hanya sebuah kenderaan melakukan kesalahan, iaitu gagal menyediakan pemandu kedua seperti yang ditetapkan.

Beliau berkata, secara keseluruhannya kebanyakan pengusaha dan pemandu bas mematuhi peraturan termasuk aspek keselamatan dan dokumentasi perjalanan.

JPJ Perak turut menubuhkan empat pasukan khas yang akan melaksanakan penyamaran secara berterusan termasuk pada waktu malam sepanjang tempoh operasi. Operasi dijalankan secara terbuka dan menyeluruh melibatkan semua syarikat bas ekspres bagi memastikan tahap pematuhan berada pada tahap terbaik.

Dalam perkembangan sama, JPJ Perak merekodkan sebanyak 1,307 notis dan saman atas pelbagai kesalahan trafik sejak Ops Khas Tahun Baharu Cina 2026 bermula Jumaat lalu.

Daripada jumlah itu, motosikal mencatatkan tindakan tertinggi dengan 892 notis, diikuti kereta sebanyak 404 kes dan kenderaan perkhidmatan awam sebanyak 11 kes.

Sebanyak 1,109 notis saman P (22) telah dikeluarkan melibatkan 767 kes motosikal, 331 kes motokar dan 11 kes kenderaan perkhidmatan awam. Selain itu, 13 notis sita di bawah Seksyen 64 Akta Pengangkutan Jalan 1987 direkodkan, iaitu 10 melibatkan motosikal dan tiga melibatkan kereta, manakala 185 notis lain membabitkan 115 kes motosikal dan 70 kes kereta.

JPJ Perak menasihatkan semua pemandu serta pengusaha kenderaan supaya sentiasa mematuhi undang-undang dan memastikan kenderaan berada dalam keadaan selamat demi keselamatan pengguna jalan raya sepanjang musim perayaan.

artikel berkaitan

ARTIKEL TERBARU