Jepun terus menjadi destinasi pilihan rakyat Malaysia, dengan lebih 506,800 pelancong Malaysia mengunjungi negara itu pada 2023. Angka ini mencatat peningkatan 21.9% berbanding tahun sebelumnya, menunjukkan minat yang semakin meningkat terhadap negara Matahari Terbit itu.

Antara faktor utama yang menyumbang kepada lonjakan ini ialah pengukuhan nilai ringgit berbanding yen, menjadikan perbelanjaan di Jepun lebih berpatutan. Selain itu, keunikan budaya Jepun, keindahan perubahan musim, serta layanan mesra penduduk tempatan terus menarik perhatian pelancong.
Wilayah Tohoku juga semakin mendapat tempat di hati rakyat Malaysia dengan pengenalan penerbangan charter terus dari Malaysia sejak 2022. Terkenal dengan keindahan alam semula jadi, aktiviti ski, serta warisan sejarahnya, Tohoku menawarkan pengalaman yang berbeza daripada bandar-bandar utama seperti Tokyo dan Osaka.

Menurut Japan National Tourism Organisation (JNTO) Kuala Lumpur, jumlah keseluruhan pelancong ke Jepun pada 2023 mencecah 36.8 juta orang, mencatat rekod tertinggi dalam sejarah. Osaka City dan Toyama Prefecture turut tersenarai dalam “52 Places to Go in 2025” oleh New York Times, mengukuhkan lagi kedudukan Jepun sebagai destinasi wajib dikunjungi.
Peningkatan jumlah pelancong dari Malaysia ini mencerminkan hubungan erat antara kedua-dua negara serta perubahan kecenderungan pelancong yang mencari pengalaman budaya lebih autentik. Dengan promosi berterusan dan akses penerbangan yang semakin mudah, Jepun dijangka kekal sebagai destinasi utama rakyat Malaysia.
