Sebuah rumah di Jinxi, barat daya Shanghai, China, yang pernah menjadi tular kerana pemiliknya enggan berpindah, kini terperangkap di tengah-tengah lebuh raya baharu. Pemilik rumah, Huang Ping, sebelum ini menolak tawaran pampasan sebanyak 1.6 juta yuan (RM1.04 juta) kerana tidak berpuas hati dengan nilai yang ditawarkan pihak berkuasa selepas seluruh perkampungan asalnya dirobohkan.

Disebabkan keengganannya untuk berpindah, kerajaan akhirnya membina lebuh raya di sekeliling rumahnya, menjadikannya struktur unik yang kelihatan seperti bentuk mata apabila dilihat dari udara. Lebuh raya tersebut dibina lebih tinggi, dengan permukaan jalan berada pada paras bumbung rumahnya, menyebabkan rumah itu kini dilingkungi tembok konkrit di tengah laluan utama.
Huang kini menyesali keputusannya setelah terpaksa berhadapan dengan gangguan bunyi bising dan debu dari projek tersebut. Dia kini tinggal di pusat bandar bersama cucunya yang berusia 11 tahun dan hanya akan kembali ke rumahnya selepas projek lebuh raya itu siap sepenuhnya.
Penduduk tempatan menggelarnya sebagai “pemilik rumah paling degil di China”, namun rumah itu juga menarik perhatian ramai sebagai lokasi unik untuk bergambar. Huang mengakui bahawa jika diberi peluang untuk mengulangi keputusan, dia pasti akan menerima tawaran kerajaan sejak awal.
